Thursday, October 8, 2009

Jualan Babi Berlogo Halal?

Jualan Babi Berlogo Halal?

Gambar yang saya petik dari satu blog ini menunjukkan satu tin makanan berbabi hancur yang mempunyai tanda halal. Kita amat bimbang dengan kecenderungan non muslim yang menjadikan tanda 'halal' sebagai bahan pelaris barangan keluaran mereka tanpa sebarang tanggung jawab untuk memastikan kandungannya adalah benar-benar halal.

halal?
Sebelum ini kita digembar gemburkan dengan restoran bukan Islam yang meletakkan 'bismillah" , nama Allah dan Nabi Muhammad dan lain-lain gambar masjid dan ayat Al-Quran untuk mengabui mata pelanggan Islam. Saya tidak punyai statistik berkenaan hal ini, cuma rakan-rakan dari PPIM membangkitkan isu ini satu ketika dulu.

Muslim Tapi Tak Halal

Selain dari non muslim, tidak dapat saya nafikan bahawa peniaga-peniaga Islam sendiri juga tidak harus terlepas dari pandangan kita. Maklumlah, sensitiviti umat Islam kita terhadap halal haram juga kian pudar. Lihat sahaja minat mereka kepada harta haram Riba dan segala mcama jenis skim cepat kaya.

Justeru itu, kemungkinan untuk seorang peniaga Muslim menjual ayam goreng dan daging tidak sembelih serta lain-lain sentiasa wujud. Sudah pasti, penjualan nasi-nasi campur di kedai-kedai, ayam percik, ayam goreng dan pelbagai lagi di pasar-pasar malam tidak mempunyai sebarang tanda halal. Tanda halal mereka hanyalah kerana penjualnya itu adalah orang Islam, justeru dengan sangka baik, kita membelinya tanpa rasa was was.

Benar, hukum Islam memberikan keringanan dari sudut ini, hukumnya adalah harus bagi orang awam seperti kita untuk membeli apa jua makanan yang dijual oleh orang Islam tanpa was was pada dasarnya selagi mana tidak terdapat tanda-tanda dan bukti sebaliknya. Seluruh tanggung jawab di hadapan Allah SWT kelak adalah di atas bahu penjual tadi.

Bagaimanapun, jika seseorang muslim memasuki restoran atau ingin membeli barangan buatan bukan Islam, tatkala itu tanggung jawab di akhirat kelak adalah di atas bahu kita sendiri. Jika ia telah punyai logo HALAL Jakim atau yang setanding dengannya seperti majlis Islam New Zeland, Australia dan lain-lain sebagai contoh. Ia juga halal. Jika logo halal seperti yang di dalam gambar ini, sudah tentu ia bukanlah logo halal dari mana-mana institusi yang berwibawa. Tatkala itu, logo halal sebegini tidak harus dipercayai sama sekali.

Demikian juga dalam hal kewangan, sekadar menyatakan produknya halal tanpa menyebut nama-nama ahli majlis Shariah juga tridak dapat kita iktiraf kecuali institusi kewangan Islam seperti Bank Islam, Takaful dan Jendela Perbankan Islam yang berlesen. Kerana mereka memang telah diwajibkan oleh undang-undang untuk punyai Majlis Shariah. Selain itu, penyertaan adalah di atas tanggung jawab sendiri, bersedialah mencari ilmu sendiri agar boleh menjawabnya di akhirat nanti.

Marilah kita sama-sama menasihati rakan-rakan penjual Muslim agar memberikan perhatian serius terhadap barang jualannya, dan juga mengambil tindakan proaktif dengan melaporkan penipuan dalam penggunaan nama halal atau Islam kepada pihak berwajib. Saya kira, pihak JAKIM sewajaranya mempunyai satu unit khas untuk menerima dan bertindak dalam hal seperti ini. Jika unit seperti ini telah ada saya pohon maaf, kerana tiada info berkenaannya dan tidak diwarwarkan dengan meluas.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

No comments:

Post a Comment